Khamis, 1 Julai 2010

Isteri Nusyuz

Seorang isteri perlu taat kepada suami kerana wujudnya ikatan pernikahan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab itu bukan mutlak tanpa batas sempadan. Antara syarat yang mewajibkan isteri mentaati suami ialah suami menjalankan sepenuh tanggungjawab terhadap isteri.Segala hak dan tanggungjawab saling bertimbal balik. Hak isteri adalah tanggungjawab suami, manakala, hak suami pula adalah tanggungjawab isteri termasuk mematuhi suruhan suami selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.Jika suruhan suami bertentangan dengan ajaran Islam, ia bukan saja tidak wajib dipatuhi malah, suami perlu diperbetulkan dengan cara bijaksana.

Tanggungjawab isteri mentaati suami boleh difahami daripada hadis Sunan Abu Daud yang bermaksud: “Sekiranya aku (boleh) menyuruh manusia menyembah manusia nescaya aku akan menyuruh isteri menyembah suaminya.” Rasulullah SAW membuat perumpamaan sebegitu untuk menunjukkan betapa pentingnya isteri mentaati suami selagi ketaatan itu tidak keluar daripada landasan syarak.Bagi menentukan sama ada isteri saudara nusyuz dan saudara wajib atau tidak memberi nafkah, kita perlu meneliti kepada peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003:“Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain:· Apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;· Apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau· Apabila dia enggan bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain, tanpa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.”

Berdasarkan peruntukan itu, seorang isteri tidak berhak menerima nafkah daripada suaminya sekiranya beliau enggan mengikut perintah sah suaminya dengan melakukan salah satu atau kesemuanya perkara (a), (b) dan (c).Namun demikian, mengikut peruntukan di atas, seorang isteri tidaklah dikatakan nusyuz melainkan perbuatan itu tertakluk kepada Hukum Syarak dan disahkan oleh mahkamah terlebih dulu.Seksyen 60 (3) Enakmen yang sama memperuntukkan: “Selepas saja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.”

Oleh itu, mengikut peruntukan ini walaupun isteri nusyuz atau enggan mengikuti perintah sah suaminya tetapi kemudian dia bertaubat, maka isteri tidak dianggap nusyuz. Dalam keadaan ini, suami wajib memberi nafkah kepada isteri.Kes saudara menunjukkan isteri enggan berpindah mengikut saudara ke Shah Alam.

Namun begitu, beliau mempunyai alasan untuk mengambil keputusan enggan berpindah.Sebagai suami isteri yang berhasrat untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga, saudara wajar berbincang secara tulus, telus dan berhikmah dengan isteri. Saudara wajar berbincang dan mungkin saudara boleh memberikan cadangan yang baik seperti menolongnya mencari kerja terlebih dulu dan kemudian baru berpindah ke Lembah Klang.

Namun demikian sekiranya isteri saudara masih lagi enggan tanpa alasan yang kuat, saya berpendapat saudara wajar merujuk kepada pendekatan Quran dalam menangani isteri nusyuz.Firman Allah yang bermaksud: “Dan isteri-isteri yang kamu curigai akan berlaku nusyuz (derhaka), hendaklah kamu menasihati mereka dan sekiranya mereka berdegil, tinggalkan mereka di tempat tidur, dan jika mereka masih berdegil juga, pukul mereka, kemudian jika mereka kembali mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyusahkan mereka dan ingatlah bahawa sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi dan Maha Besar.”

Ayat di atas menggariskan langkah yang perlu diambil suami dalam menghadapi kerenah isteri yang nusyuz iaitu menasihati, memulaukan (mengasingkan diri dari tempat tidur isteri) dan memukul dengan pukulan pengajaran yang tidak mencederakan.Pertama, jika sudah diadakan perbincangan tetapi isteri tetap berdegil, cuba nasihatkan bersandarkan kepada ayat al-Quran dan sunnah bagi melembutkan serta mendekatkan isteri kepada nilai agama.Jika isteri saudara masih lagi berdegil, tunjukkan rasa tidak reda dengan tidur berasingan bilik atau membelakangi isteri ketika tidur. Mudah-mudahan dia sedar atas kesilapannya.

Kaedah terakhir iaitu memukul dengan pukulan tidak melukakan atau mencederakan isterinya, tidak boleh dibuat di tempat sensitif seperti muka dan dada serta tidak menggunakan alat yang boleh mencederakan.Apapun, saya sangat mengharapkan saudara berbincang dengan baik, gariskan kebaikan dan keburukan tinggal berjauhan, apa kemungkinan berlaku jika berhenti kerja dan cari alternatif yang baik.Semoga kerjasama kedua pihak dapat memastikan perkahwinan berkekalan dan beroleh bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan